minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

SIRI 34 YTDT 

ANTARA TAKBIR DAN GEMANYA

Bahagian II

CABARAN MEGA

Masyarakat tidak akan menganggap sesuatu  itu sebagai salah ataupun haram tanpa bersebab.  Begitu halnya dengan sesuatu yang dianggap sebagai  benda yang baik. Dua nilai hidup ini selalunya ditentukan oleh masyarakat itu berdasarkan pengalaman  lama. Sebagai makhluk yang dicipta oleh Allah, manusia mempunyai  keupayaan untuk berfikir  dan menurunkan  pengetahuan  daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya tanpa perlu membuat keputusan terhadap sesuatu itu berdasarkan pengalamannya sendiri. Pengalaman yang telah dihimpun  dan mencetuskan minda  dan nilai itu  bukan sahaja dikongsi-sama dengan  masyarakat seluruhnya  yang wujud ketika itu tetapi diwariskan kepada generasi yang seterusnya.  Nilai-nilai hidup ini selalunya diterima dan diserap oleh setiap generasi itu sebagai satu bahagian tradisi dan  budaya. Kadangkala generasi yang baru mempertikaikan nilai hidup lama itu dan berkesudahan dengan munculnya satu nilai baru pula.

Konsep kehidupan yang baik dan tidak baik  dalam satu kumpulan manusia adalah merupakan nilai hidup yang diwariskan    kepada generasi yang seterusnya sebagai  tradisi dan budaya.  Contohnya pada satu masa dulu,  di zaman Jahiliyah, orang Arab menanam bayi perempuan hidup-hidup.  Kini, amalan itu dianggap sebagai menjijikkan dan  tidak berhati perut. Ia dianggap sebagai  zalim,  tidak berperi-kemanusiaan  dan memang tidak patut dilakukan.  Tentunya kita tidak perlu diajar bagaimana menerima cerita itu. Memang, ia sungguh meloyakan. Malahan, secara sedar ataupun tidak, perasaan itu adalah berdasarkan sistem nilai hidup masa kini,  yang tidak merestui perbuatan membunuh  terutama sekali yang melibatkan anak-anak sendiri.

Tetapi kalau kita hidup di negeri Arab di zaman Jahiliyah dulu,  tentu kita juga terlibat dengan amalan tersebut kerana perbuatan yang tidak dianggap  zalim ketika itu. Kita tidak akan dihantui perasaan berdosa, kerana ketika itu membunuh anak perempuan kecil bukan dianggap sebagai sesuatu yang hina.

Beginilah halnya, satu ribu  empat ratus tahun dulu, manusia berperangai lebih berbeza dengan manusia di zaman ini.  Mereka  mudah melakukan  perbuatan yang zalim tanpa perasaan berdosa. Namun, tentu kita masih ingat akan keadaan di China kurang satu ratus tahun yang dulu, di mana kaum ibu mencekik bayi perempuan mereka sehingga mati. Bagaimana pula dengan budaya 'suttee' dimana janda dibakar hidup-hidup di unggun api yang membakar mayat si suami? Walaupun budaya ini sudah lama diharamkan ia masih lagi dipraktikkan  di beberapa tempat beberapa tahun yang   lalu. Hingga kini,  masih ada kumpulan yang berbuat demikian  di India seandainya   pihak polis tidak berwaspada membenterasnya.

Kalau nilai  sesuatu masyarakat itu  dibentuk  hanya oleh masyarakat itu sendiri mengikut sesuatu masa dan mengikut pengalamannya, mungkin  amalan zalim  seperti membunuh bayi dan membakar janda di unggun api  tidak dapat bertahan lama. Oleh kerana nilai hidup yang baik dan buruk itu  selalunya diwariskan turun temurun  daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya  sebagai  warisan bangsa tanpa penjelasan dan alasannya,  amalan menghalalkan cara pembunuhan   bayi dan janda itu boleh diterima- pakai  dan dikekalkan untuk satu tempoh yang lama.

Rasuah adalah  salah satu amalan yang dianggap buruk oleh hampir setiap masyarakat dunia. Pengiktirafan ini dibuat berdasarkan  tradisi dan bukannya  oleh kajian ataupun pengalaman.  Sesiapa sahaja mengutuk  rasuah sebagai satu jenis jenayah. Namun, ini tidak bererti bahawa semua orang  menerima  interpretasi itu ataupun memang betul-betul faham  bahawa kesan yang buruk datang daripada perbuatan rasuah itu.

Rasuah mudah difahami sebagai satu amalan yang membolehkan seseorang  untuk mendapatkan imbuhan melalui  kaedah yang  haram. Contohnya, seorang pegawai yang menerima pendapatan bulanan  kerana melakukan tugas tertentu, mungkin menerima  satu hadiah daripada seseorang  kerana melakukan salah satu tugas tersebut. Perbuatan itu boleh ditafsirkan sebagai rasuah, tetapi pada tahap awalannya  ia tentu tidak mencetuskan sebarang kesan yang tidak diingini.  Yang memberi mungkin melakukannya dengan keikhlasan hati, sedangkan yang menerima melakukan  tugasnya itu  seperti yang dilakukannya kepada orang lain yang tidak memberikannya apa-apa.

Tetapi, apabila hadiah telah diberi, tentu ada satu bentuk  keistimewaan kepada si pemberi di lain kali.  Ini bererti sesiapa yang tidak mengeluarkan hadiah itu akan tidak mendapat layanan yang sepantas yang diminati. Di tahap ini, sebarang  kekurangan dirasakan oleh mereka yang memerlukan khidmat pegawai yang berkenaan. Masyarakat dan juga negara belum lagi terbabit dalam hal ini. Masyarakat tidak akan bertindak kalau tidak merasakan kesan negatif  perbuatan rasuah itu dan lebih mudah memandang sepi perbuatan itu. Lebih-lebih lagi kalau gaji pegawai yang terbabit dianggap masih rendah lagi.

Tetapi, pegawai lain  yang bertugas tanpa berhubung rapat dengan kumpulan yang menyogok itu  tentu berasa cemburu  terhadap pegawai yang menerima sogokan tersebut. Untuk mendapatkan sebahagian  daripada sogokan yang diberikan, mereka  akan sengaja menyekat jurusan tertentu  yang memudahkan tugas  pihak yang 'mewah'. Inilah yang membuatkan korupsi itu ke tahap yang  aktif: di mana aksi positif dilakukan untuk membiakkan rasuah.

Contoh yang baik ialah dalam kewujudan sistem tipping. Pada tahap awalannya, perbuatan tipping diamalkan untuk mengupah para pelayan restoran  yang melayan para pelanggannya.  Jumlah tip  bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan si pemberi dan kepada khidmat yang diberikan.  Pada mulanya  perbuatan memberi tip itu  dilihat sebagai sesuatu yang  ganjil dan perkhidmatan melayan diberikan sama ada tip diberikan ataupun tidak. Tidak lama kemudiannya, sikap para pelayan berubah, mereka tidak memberikan layanan yang baik kalau tip tidak diberikan. Di tahap ini konsep tip itu berubah. Kalau satu ketika dulu tip diberikan kerana khidmat yang baik, ia sudah bertukar kepada khidmat yang baik diberikan kerana tip itu.

Daripada tahap ini, perbuatan memberi tip itu berubah kepada jurusan lain, di mana kadar tip itu ditetapkan.  Pelanggan tidak lagi mempunyai hak untuk memberi sesuka hatinya, tetapi mesti mengikut  peraturan yang ditetapkan, selalunya sekitar sepuluh ataupun lima belas peratus. Pada tahap awal dulu, memberi tip hanya kepada pelayan yang memberikan khidmat kepada pelanggan. Ini mencetuskan perasaan cemburu pihak yang tidak berurusan dengan pelanggan itu secara terus, sedangkan mereka pun terlibat dalam memberikan khidmat kepada  pelanggan itu. Contohnya, seorang tukang masak (chef) menyediakan hidangan yang lazat, tetapi tidak menerima tip. Begitu juga dengan pekerja lain  di restoran yang tidak terlibat secara langsung melayan pelanggan itu, yang tidak dapat merasakan tip tersebut.

Perasaan cemburu kumpulan demikian mencetuskan satu tindakan negatif yang membawa mudarat kepada  pelanggan. Satu cara baik telah diolah  untuk menentukan semua pihak yang terbabit  mendapat sebahagian daripada pemberian tip tersebut.  Perbuatan memberi tip dihalalkan secara rasmi  dan dikenakan caj mengikut kadar tetap berasaskan harga makanan yang disediakan. Kutipan wang tip dikumpulkan dan diagihkan kepada semua individu yang terbabit dalam memberikan khidmat kepada pelanggan mereka.

Di sini muncul pula dua perkara. Pertama, wang tip yang dikutip secara rasmi itu diagihkan kepada pekerja hotel dan restoran mengikut kadar gaji mereka. Mereka yang mendapat gaji yang tinggi  tentunya mendapat bahagian yang lebih tinggi daripada tabung tip itu, sedangkan yang memerlukan wang tip itu adalah mereka yang berpendapatan rendah. Kedua, mereka yang melayan pelanggan secara terus masih berupaya mendapatkan tip tambahan daripada para pelanggan itu.

Dengan lain perkataan,  walaupun tip sudah menjadi bayaran rasmi, pembayaran tip yang tidak rasmi masih boleh dikekalkan dan berpanjangan untuk mencetuskan cemburu di kalangan pekerja  yang tidak berurusan  terus dengan pelanggannya. Yang usul baliklah ke asalnya dan perniagaan pun menjadi tergugat  oleh tindakan  yang mencetuskan kerugian kepada peniaganya. Akhirnya pelanggan terus dihenyak oleh harga tipping yang dinaikkan lagi.

Rasuah memang boleh mencetuskan keadaan yang merugikan dan menjatuhkan kerajaan sehingga tercetusnya huru-hara. Kalau seorang pegawai yang ditugaskan mengutip  pelbagai jenis cukai negara terlibat dengan rasuah, kerajaan  akan ketandusan pendapatan daripada kutipan cukai itu. Pendapatan negara yang tidak mencukupi  akan memudaratkan proses pembayaran gaji.  Apabila gaji tidak dibayar secukupnya, pegawai kerajaan akan terus mengamalkan kerja-kerja rasuah lagi.

Korupsi boleh menjadi satu tabiat  yang tidak ada sangkut-paut dengan  kadar pendapatan seseorang. Nafsu manusia memang tidak ada hadnya.  Manusia yang berpendapatan rendah mungkin berkata mereka merasa puas hati dengan pendapatan yang tinggi.  Tetapi kita patut ingat memang sudah ada manusia yang berpendapatan tinggi seperti yang diimpikan oleh golongan pendapatan rendah itu. Apakah mereka yang bergaji lumayan itu berpuas hati dengan pendapatan mereka dan tidak dirasuk oleh perbuatan rasuah?  Jawapannya ialah; bukan sahaja mereka  tidak berpuas hati, mereka  lebih berminat  untuk mendapatkan habuan yang lebih besar  setara dengan gaji mereka.

Dengan demikian, menaikkan gaji  tidak merupakan satu cara  untuk membenteras korupsi. Di negara di mana korupsi sudah menjadi amalan biasa,  menaikkan gaji  tiga kali ganda akan  menaikkan tahap  pembayaran korupsi yang tiga kali ganda tingginya. Dengan kata lain, apabila korupsi menjadi satu amalan norma, kenaikan pendapatan  bukan sahaja gagal membenteras korupsi malahan akan mencetuskan pembiakannya. Korupsi berlaku di mana-mana. Tidak ada sebuah negara  ataupun negeri  yang bebas daripada rasuah. Namun, kesannya itu boleh diringankan dengan syarat korupsi itu belum mencapai dua tahap yang kritikal.

Tahap kritikal yang pertama ialah apabila korupsi itu dirahsiakan  sedangkan hubungan telah dijalin di antara pegawai bawahan dengan pegawai atasan.  Pada tahap ini, pegawai bawahan  menerima sogokan  dan meneruskan tugas mereka dengan mengongsi sogokan itu dengan pegawai atasan. Keadaan yang sebaliknya boleh juga berlaku. Dalam situasi ini setiap pegawai saling bantu-membantu dan saling lindung-melindungi. Ini mungkin membabitkan pegawai-pegawai  paling tinggi  pangkatnya, termasuk menteri-menteri dan para pemimpin politik. Malahan juga  para hakim dan para penguatkuasa undang-undang.

Kesan korupsi di tahap ini memang amat jelas.  Satu laporan daripada pihak yang menjadi mangsa  tidak akan membawa sebarang kesan.  Malahan kalau ada usaha untuk membersihkan sistem itu, tidak ada sesiapa yang akan melakukannya  kerana semua orang terbabit dengan korupsi.  Menteri  dan para pegawai boleh digantikan, tetapi mereka yang mengambil tempat yang baru itu akan terdorong juga untuk bergelumang dengan korupsi.  Kalau mereka enggan untuk bergelumang sama, mereka akan tersisih  kerana  para pegawai mereka tidak akan mengikut arahan yang diberikan. Adalah mustahil untuk memecat semua pegawai kerajaan dan mengambil  pegawai yang baru. Kalau pun ini diusahakan, kesannya adalah huru-hara yang mencetuskan bencana juga.

Tahap kritikal korupsi yang kedua ialah perbuatan yang tidak lagi menjadi rahsia dan diterima-pakai sebagai satu amalan biasa dalam sesuatu masyarakat itu.  Ada kalanya disebutlah kisah pendapatan bulanan yang rendah sebagai alasan kenapa rasuah mesti dilakukan. Kalau benar perkara itu, mereka yang bergaji tinggi seperti  pegawai atasan dan para menteri  tidak patut menerima rasuah. Yang nyata, orang atasan lebih selesa meminta sogokan yang lebih tinggi nilainya. Memang tidak ada hadnya kepada nafsu-nafsi manusia.

Korupsi yang diamalkan secara terbuka tanpa dianggap sebagai haram  tentunya mencetuskan kesan yang sungguh berbahaya kepada sesebuah negara. Pertama, kerajaan menjadi lemah kerana setiap kali  rasuah diterima, kerajaan kehilangan  hasil pendapatan ataupun dinafikan hasil  tindakan yang berkesan. Contohnya, apabila  sesuatu ketentuan telah dibuat mengenai cukai, pemberian wang sogokan  tidak akan menyulitkan si pemberi; wang yang sepatutnya merupakan pembayaran cukai itu dikongsi sama oleh tukang sogok itu dan juga tukang  terima. Keadaan yang berulang tentunya menidakkan  hak kerajaan kepada hasil mahsyul yang penting untuk menguruskan negara. Ini boleh membantutkan pembayaran gaji. Untuk menutup bayaran kerajaan yang tidak mencukupi itu, para pegawai akan terus menagih sogokan. Kerakusan manusia yang tidak ada hadnya itu akan memperlekehkan perbuatan rasuah dan  mencetuskan pembayaran rasuah yang lebih tinggi hingga memudaratkan pengutipan cukai negara. Kesan buruknya tidak perlulah diperjelaskan di sini.

Kalau kerajaan  TIDAK mempunyai dana yang mencukupi,  khidmat sosial seperti pendidikan, kesihatan,  kemudahan awam dan sebagainya  tidak dapat disediakan. Negara bukan sahaja tidak mampu bersaing maju, jurang  pemisah di antara yang kaya dengan yang tidak berada akan semakin melebar. Sebabnya, semua khidmat sosial yang diberikan oleh kerajaan itu selalunya membantu  mengurangkan perbelanjaan golongan rakyat marhaen.

Dalam situasi di mana yang miskin bertambah miskin, masalah mereka akan terus dihenyak oleh sistem korupsi. Kerana tidak mampu menyogok, mereka  tidak mampu mendapatkan khidmat para pegawai. Keadaan akan terus  menjadi buruk. Keadilan akan kehilangan maknanya yang sebenar dan  majoriti rakyat marhaen akan terus dihimpit beban putus harapan.

Sememangnya, nafsu-nafsi manusia itu tidak ada sempadannya. Walaupun ekonomi sesebuah negara  boleh dihenyak oleh korupsi, para pegawai yang  terbabit  dalam amalan korupsi itu tidak akan mahu berganjak dan berhenti melakukan perbuatan keji itu. Akhirnya korupsi gagal memberikan kepuasan kepada segala keistimewaan yang pernah mereka nikmati itu.  Di sebuah negara di mana semua rakyatnya senang-lenang,  kekayaan memang mudah didapati kerana para konsumer  memang bersedia  membeli barangan yang diniagakan.  Tetapi apabila ekonomi  sesebuah negara itu merudum, disebabkan korupsi,  para pengguna akan mendapat pendapatan yang semakin berkurang dan perniagaan pun turut merudum sama. Apabila perniagaan menurun, para peniaga pun tidak mampu membayar sogokan kepada pegawai hingga mereka pun turut merana. Di negara-negara  di mana korupsi merupakan amalan biasa, walaupun pegawai kerajaan menerima  pelbagai bentuk rasuah, mereka masih tidak mampu hidup senang-lenang.

Adalah penting untuk memahami dua tahap  kritikal korupsi itu. Apabila tahap itu telah wujud di sesebuah negara, memang tidak ada harapan untuk membasminya. Rakyat marhaen dan juga kumpulan tertentu dalam sesuatu masyarakat  memang mengutuk korupsi. Mereka menuntut dan menentang amalan itu dan mengugut untuk bertindak terhadap para pegawai dan kerajaan melainkan amalan korupsi itu dapat dibenteras.  Semua itu adalah usaha yang sia-sia. Kalau pun para pegawai dan kerajaan digantikan, reformasi hanya mampu bertapak untuk seketika sahaja. Penyakit korupsi akan menghinggapi  orang yang baru memegang kuasa. Walaupun mereka merupakan golongan yang mengutuk korupsi itu. Penyakit itu akan merebak laksana satu wabak. Kalau ada perbezaannya, ia berlaku kepada golongan yang menerima. Kepada rakyat marhaen dan negaranya, menggantikan  pegawai lama ataupun pemerintahan dengan kumpulan yang baru tidak akan membawa perbezaan kepada budaya rasuah itu.

Perkara ini dapat diamati apabila korupsi sudah sampai ke tahap yang kritikal. Kita akan melihat satu kerajaan yang baru dengan muka yang baru dan ideologi yang baru juga. Tidak payahlah di tunggu lama-lama, kerajaan yang baru itu pun akan dituduh terbabit dengan budaya korupsi juga. Terlalu banyak ikrar yang dilafazkan untuk membasmikan budaya korupsi. Begitu juga dengan usaha berkempen, namun korupsi terus juga berleluasa. Ada kalanya kerajaan terus berubah-ubah.  Namun, korupsi  terus juga bercambah.

Korupsi yang sudah membiak ke tahap ini tidak dapat dibasmikan kerana  ia tidak lagi dianggap sebagai satu jenayah tetapi telah menjadi satu budaya hidup masyarakat yang menerimanya. Mereka yang menganggapnya sebagai satu jenayah mengutuknya kerana mereka tidak mempunyai peluang untuk mengamalkannya. Kalau diberi peluang dan keupayaan, mereka pun akan turut bergelumang sama. Begitu juga halnya mereka yang mengutuk nepotisme dan budaya kronisme. Apabila mereka bertemu orang atasan yang mereka kenal, mereka pun akan meminta peluang diberikan keistimewaan.  Alasan lumrah yang mereka berikan ialah, kalau orang lain boleh dapat keistimewaan itu kenapa pula mereka dinafikan? Dengan lain perkataan,  oleh kerana  orang lain melakukan sesuatu jenayah, mereka juga ada hak untuk melakukan jenayah yang serupa? Ini bererti, oleh kerana orang lain mengamalkan korupsi, sesiapa juga yang mempunyai peluang itu mempunyai hak untuk mengamalkan korupsi itu. Kalau  beginilah cara manusia berfikir, sesuatu masyarakat itu memang tidak mampu membasmi korupsi. Ia hanya mampu mengalihkan amalan korupsi itu daripada seorang individu kepada individu yang lain, daripada satu kumpulan kepada kumpulan yang lain.

Di awal bab ini, telah dinyatakan  betapa sesuatu perkara itu tidak dianggap buruk oleh sesuatu masyarakat itu tanpa bersebab. Daripada perbincangan di atas, nampaknya korupsi itu dianggap buruk  hanya kepada orang yang tidak mempunyai peluang ataupun keupayaan untuk menikmatinya. Mereka yang diberi peluang tentunya tidak mendapati perkara itu sesuatu yang menjijikkan. Di dalam satu situasi apabila ramai rakyat marhaen bergelumang dengan rasuah dan menikmati  keistimewaannya, adalah tidak mudah untuk bercakap mengenai bahaya korupsi itu. Kalau sebilangan besar masyarakat menikmati  korupsi, bagaimana pula korupsi itu dianggap sebagai satu jenayah yang berbahaya?

Di negara China di bawah pemerintahan maharajah dulu, korupsi dianggap sebagai perkara biasa. Semua pegawai negara mesti diberikan  hadiah berbentuk wang setiap kali khidmat mereka diperlukan. Pembayaran dibuat secara terbuka. Sebagai contohnya, penghuni sesuatu pekan itu  akan menyumbang kepada satu tabung untuk membeli hadiah untuk disogokkan kepada pihak yang berkuasa.

Semua pegawai kerajaan terbabit dalam amalan ini. Hak penerimaan mereka memang telah ditetapkan. Malahan pengutipan wang untuk membeli hadiah mereka itu adalah sama dengan pengutipan cukai. Perbezaan terdapat kepada cara  wang itu dikumpulkan. Kalau cukai perlu dibayar kepada kerajaan  dan kemudiannya diagihkan kepada  pegawai dan para kakitangan kerajaan dalam bentuk gaji, wang untuk disogok itu dikongsi-sama  dalam bentuk 'cukai' yang dilakukan sepanjang proses pengutipan itu. Yakni, setiap pengutip wang itu mengambil secebis kutipan itu sebagai imbuhannya sebelum menyerahkan  yang berbaki kepada pegawai di atas. Pegawai atasan akan melakukan tabiat yang serupa  sebelum menyerahkan kepada ketuanya pula. Demikianlah, bagaimana tabiat itu terus berlanjutan.

Dalam hal ini, para pegawai menerima imbuhan yang diberikan sebagai sampingan kepada gaji bulanannya. Masyarakatnya  menerima faedah daripada khidmat yang disediakannya. Oleh kerana semua pihak mendapat faedah daripada sistem itu,  unsur korupsi di dalamnya tidak menyerlah.  Ia tidak pula disebut sebagai korupsi tetapi disebut dengan perkataan lain pula. Dalam keadaan seperti ini, unsur korupsi itu memang boleh dilihat kalau kajian dilakukan. Di China ketika itu, bukan sahaja pegawai rasmi kerajaan yang mesti disogok, pemimpin kongsi gelap pun memerlukan sogokan. Persatuan persatuan peminta sedekah, kongsi gelap dan kumpulan haram yang lain mesti disogok untuk mengelakkan perbuatan gampang mereka.

Apabila terlalu banyak kumpulan yang menyiksa kehidupan masyarakat  yang mahu hidup bahagia,  keharmonian masyarakat itu pun tergugat. Tidak ada sesiapa yang bersedia bekerja kuat kerana hasil keringatnya melainkan diperah oleh para pegawai dan penjenayah. Kebanyakan rakyat marhaen akan melakukan kerja  seminima mungkin  untuk terus hidup, kerana apa yang berlebihan dicapainya akan menguntungkan pihak yang menekannya. Apabila sesuatu masyarakat itu kerap sangat diugut, rakyatnya akan hidup secara tergugat. Keadilan tidak dapat dinikmati kerana keadilan tidak mampu  hidup subur dalam masyarakat yang mengamalkan korupsi.

Lagipun hadiah kewangan diberikan kepada pegawai kerajaan  dengan muslihat untuk mengurangkan  kadar cukai kepada kerajaan. Ini bererti kerajaan dinafikan hak untuk menerima pendapatan cukai secara penuhnya. Kerana  itu kerajaan tidak berupaya menyediakan kemudahan awam, termasuklah peruntukan untuk memerangi korupsi. Negara pun boleh menjadi lemah dan boleh dijajah dengan mudahnya dan penduduknya dihamba-abdikan.

Amalan korupsi dan kesannya telah membuatkan kerajaan negeri-negeri  Melayu menjadi mangsa kepada kumpulan yang menjajahnya. Kadangkala penjajahan itu dilaksanakan melalui ugutan, tetapi ada kalanya janji bantuan sudah memadai.

Contoh yang jelas adalah   daripada sejarah Negeri-negeri Melayu.  Pada abad ke-19  dulu, orang asing mula menunjukkan minat terhadap negeri-negeri Melayu.  Memang jelas, tanah Melayu mempunyai khazanah  yang tinggi mutunya sedangkan para penduduk dan juga raja-raja tidak pun mempunyai minat dan pengetahuan  mengenai khazanah itu, terutama sekali perlombongan bijih timah.

Ramai  tetamu asing telah membuat cadangan  kepada pemimpin tempatan  agar mereka (orang asing) diberikan hak untuk memajukan hasil bumi yang asli itu dengan cara membayar pampasan kepada para pemimpin tempatan secara berjadual. Ada pemimpin tempatan itu menjadi kaya raya dalam satu tempoh yang pendek sahaja. Pendapatan mereka itu tidak dianggap sebagai cukai negara walaupun  tanah yang di lombong itu bukannya kepunyaan pemimpin yang menerima imbuhannya.

Daripada kerja melombong, projek usaha-sama itu menjalar kepada pemberian tanah untuk tujuan yang lain. Ini termasuk perjudian, perdagangan candu, dan juga pengutipan cukai. Pendapatan para pemimpin daripada usahasama dengan orang asing itu telah menjangkau pengutipan cukai yang mereka terima daripada rakyat biasa. Lantas, perasaan tanggungjawab mereka terhadap rakyat sendiri pun menjadi kurang kerana mereka memberikan keutamaan kepada permintaan pihak pedagang yang mendatang.

Inilah tahap yang membuatkan perasaan cemburu timbul membuak. Orang asing yang dipinggirkan mula menabur  benih fitnah  dengan tujuan pemimpin yang rakus itu dapat ditumbangkan oleh pihak tertentu yang sanggup melakukannya dengan bayaran tertentu yang dijanjikan. Berlakulah percanggahan di kalangan pemimpin tempatan dan di kalangan kumpulan yang mendatang sehingga mencetuskan keadaan huru-hara senantiasa. Akibatnya, satu demi satu negeri tanah Melayu itu berpindah kuasa sebenarnya kepada pihak British melalui perjanjian yang menjanjikan 'bantuan'.  Jatuhnya negeri-negeri Melayu ke tangan British  mungkin dianggap satu contoh yang ekstrim kepada kesan korupsi. Tetapi itulah hakikatnya dan betapa kerakusan korupsi itu boleh sampai ke tahap begitu. Kalau budaya korupsi itu tidak dapat dibasmikan sedangkan ia mampu menghancurkan sesuatu masyarakat itu, apakah tindakan yang perlu dilakukan  untuk  meminggirkannya?

Wujudnya korupsi seperti wujudnya jenayah yang lain, tidak bererti  sesuatu masyarakat itu telah menerimanya sebagai satu amalan biasa. Tetapi, bertentangan dengan jenayah lain, korupsi itu kalau dibiarkan bercambah boleh diterima sebagai satu amalan yang dipraktikkan secara terbuka. Seperti yang kita perjelaskan, kalau  korupsi itu diamalkan secara terbuka, ia bukan sahaja tidak mudah dibasmikan, malahan menjadi sesuatu yang amat berbahaya kepada semua pihak.  Adalah jelas, walaupun masyarakat mungkin dapat menerima hakikat bahawa korupsi itu tidak dapat dibasmikan, ia tidak boleh biarkan sebagai amalan biasa yang tidak perlu dilakukan secara berahsia. Apa juga kenyataan  mengenai kewujudan korupsi itu, ia akan tetap merupakan satu bentuk jenayah  yang tidak boleh dianggap enteng semata-mata.

Kalau masyarakat sudah menganggap korupsi itu sebagai satu jenayah,  untuk mengutuknya sahaja,  walaupun dengan lantangnya, tidak merupakan tindakan yang memadai. Yang lebih penting lagi masyarakat itu sendiri mesti  membersihkan gejala korupsi itu sama sekali. Untuk melakukannya secara berkesan, semua pihak mesti memahami apakah yang dimaksudkan dengan korupsi itu.

Secara lazimnya, korupsi dianggap sebagai  memberikan sesuatu kepada seseorang yang berkuasa  agar beliau melenturkan kuasanya untuk   memihak  kepada si penyogok itu. Contoh yang terbaik boleh dilihat dalam pemberian lesen di mana kalau terdapat ramai pemohon sesuatu lesen itu, orang yang menyogok pegawai yang berkuasa tentunya berjaya mendapatkan  lesen sedangkan ramai orang lain yang lebih layak yang sepatutnya menerima lesen itu. Tetapi, apa pula akan terjadi kalau si penerima lesen itu memang layak menerimanya dan dia memberikan hadiah itu pada hari yang sama yang dilakukan oleh orang lain. Apakah itu dianggap sebagai satu rasuah?  Dia berjaya kerana dia memang layak dan dia memberikan hadiah  sebagai tanda terima-kasihnya  kepada pemberian yang adil itu. Adakah itu rasuah?

Dalam hal ini, pemberian hadiah pada hari lebaran harus dianggap sebagai satu bentuk rasuah. Tetapi, bukannya mudah menolak semua bentuk  hadiah itu. Satu hadiah yang diterima daripada pemimpin sebuah negara adalah satu lambang silaturrahim ataupun satu bentuk rasuah untuk mendapatkan layanan istimewa  mengenai dasar negara  ataupun melibatkan rakyat negara yang terbabit. Apa pula pendapat rakyat marhaen mengenai hadiah yang diberikan pada hari lebaran?

Penyalahgunaan wang kerajaan memang merupakan satu bentuk rasuah. Begitu juga dengan penyalahgunaan kuasa. Kalau seseorang pegawai   menuntut perbelanjaan kerana menjalankan tugasnya secara melebihi  kos yang sebenar,  perbuatannya itu adalah satu korupsi juga. Kalau dia gunakan wang kerajaan untuk dirinya seperti membuat jalan menghala ke rumahnya, itu pun satu korupsi.  Kalau seorang menteri menggunakan  peruntukan untuk kemudahan dirinya, keluarganya dan para penyokongnya, itu pun merupakan korupsi.  Kalau seorang pelajar mendapatkan biasiswa dengan berjanji untuk belajar dengan tekun  tetapi menggunakan biasiswa itu untuk tujuan lain, itu pun korupsi juga!

Sekali pandang semua itu memang merupakan kes rasuah. Tetapi, kalau kita amati dengan lebih dekat, apa yang dikatakan jelas itu menjadi samar hingga menyerlahkan gambaran yang bertentangan dengan apa yang sepatutnya; yakni apa yang semacam rasuah itu  bukannya rasuah sebenarnya.  Seorang menteri  yang  mahukan penyokongnya menerima sedikit kemudahan,  melakukannya kerana memikirkan mereka memang sepatutnya menerima pertolongan itu.  Mungkin juga kerana  mereka telah dipinggirkan oleh  pegawai kerajaan ataupun pihak tertentu  yang melakukannya secara sengaja. Bukankah tugas menteri memperbetulkan kesilapan yang berlaku? Mestikah seorang menteri mengenepikan satu permohonan yang wajar kerana mahu mempertahankan imejnya? Perkara  sedemikian mungkin  berlaku kepada pegawai yang mempunyai kuasa tertentu. Sesiapa yang mereka layan itu sudah semestinya mempunyai satu bentuk pertalian dengan mereka. Layanan yang diberikan itu mungkin berbentuk satu keistimewaan ataupun tidak ada sebarang makna langsung.

Apa yang jelas ialah setiap sesuatu itu boleh diluluskan, sama ada lesen, biasiswa ataupun sebarang kemudahan yang  melibatkan ramai permohonan; dan bagi setiap permohonan yang berjaya itu  memang terdapat  banyak lagi yang tidak berjaya dan akan terus kecewa. Apabila seseorang pegawai telah membuat pemilihannya, adakah  mudah ditentukan samada dia telah sengaja meminggirkan sesiapa? Pihak yang  tidak berjaya akan mengatakan pegawai itu sengaja mengenepikan mereka, tetapi kalau mereka  itu yang sudah berjaya, mereka akan berkata bahawa tindakan pegawai itu adalah satu tindakan yang saksama. Malahan, kalau mereka mempunyai peluang untuk menghubungi pegawai itu untuk mendapatkan keistimewaan tertentu, mereka tidak akan teragak-agak melakukan perbuatan itu.

Dari kisah di atas,  satu perkara yang menonjol ialah definisi korupsi itu walaupun mudah dan jelas kisahnya mungkin tidak  semudah itu untuk memberikan gambarannya. Apabila sesuatu tuduhan itu dikemukakan oleh orang yang  kecewa, kesahihan tuduhannya itu boleh dipertikaikan. Tetapi kalau orang semacam itu tidak membuat tuduhan, siapakah lagi yang boleh melakukannya? Tentu sekali mereka yang  terlibat sahaja yang   dapat merasakan kegetiran dan segala butiran  keadaan yang sebenar.

Usaha memerangi korupsi mempunyai dilemanya tersendiri.  Ini bukan berpunca daripada beberapa  perbuatan korupsi yang sebenarnya tidak berunsur rasuah, malahan ada keperluan memberikan kuasa kepada pihak tertentu untuk membenteras perbuatan rasuah itu. Kuasa seperti itu memang mudah disalahgunakan. Dengan lain perkataan, pegawai pencegah rasuah mesti mampu menepis sebarang usaha untuk menyogok mereka. Daripada peringkat bawahan hinggalah pegawai atasan,  para pegawai ini terpaksa berdepan dengan usaha itu dan sama ada mereka kekal bersih ataupun tidak, beberapa tuduhan sudah pasti ditujukan terhadap mereka.  Sama ada tuduhan itu mempunyai asas ataupun tidak, usaha itu sudah pasti melemahkan usaha membenteras  korupsi.  Beberapa tuduhan itu mungkin ada asasnya jika tidak  jentera pencegahan rasuah itu  mungkin bertukar wajah menjadi  jentera memajukan rasuah pula. Inilah dilema rasuah ¨C tidak ada satu sistem  yang jelas dapat digunakan untuk memerangi korupsi tanpa  mendedahkan  sesuatu sistem itu terhadap  tekanan sogokan juga.

Untuk menyelesaikan  masalah yang dihantui dilema itu,  faktor yang menentukannya bukanlah terletak kepada kaedah ataupun jentera  yang digunakan untuk memerangi korupsi itu.  Yang lebih berkesan dan penting ialah  sistem nilai  yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang terbabit. Sebetulnya, semua orang setuju  bahawa korupsi ialah satu jenayah dan tidak harus diamalkan. Tidak seorang pun yang berkata bahawa dia menganggap enteng budaya rasuah itu dan wabak penyakit yang menghantui masyarakatnya. Tetapi apabila muncul peluang untuk menikmati budaya korupsi itu, jurang  di antara apa yang dikatakan dan apa yang dilakukan mengenainya menjadi amat luas sekali.

Di dalam sebuah negara berdemokrasi, sebagai contohnya, peluang  untuk seseorang rakyat marhaen  mengamalkan korupsi  memang wujud secara  meluas, terutama sekali di waktu pilihanraya. Tujuan sebenar diadakan pilihanraya itu ialah untuk  memilih pemimpin yang berkelulusan tinggi dan  amanah.  Soalan perdana  sepatutnya berbunyi: apakah calon itu dan partinya mampu memerintah negara? Apakah negara dan masyarakat mampu terus maju dan terus aman damai  kalau calon tertentu dipilih?  Apakah kemungkinan adanya kesaksamaan dalam pengagihan  usaha kerajaan  dan bantuannya di kalangan rakyat? Dengan lain perkataan, pemilihan seseorang calon itu  harus ditentukan oleh  kesan  terhadap kesejahteraan dan kemajuan  negara daripada pelbagai bidang.

Tetapi,  selalunya ketika pilihanraya, kebanyakan pengundi  memberikan keutamaan terhadap  faedah khas yang mereka akan perolehi daripada  calon-calon yang meraih sokongan mereka, apabila calon itu  menang. Faedah istimewa  sebenarnya tidak menepati konsep kesaksamaan.  Malahan semua itu adalah  hadiah yang diberikan terus kepada para pengundi.  Lagi banyak  faedah khas yang dijanjikan (yang semestinya menafikan hak orang lain) lagi kuatlah sokongan yang dijanjikan kepada calon tersebut.

Pada tahap awalnya lagi, seseorang calon itu menjanjikan  para pengundinya  apa juga yang mereka minta, tidak kiralah permintaan itu munasabah ataupun tidak. Malahan calon itu terpaksa  berjanji untuk mengabaikan  puak yang tidak disukai oleh para pengundi, sedangkan permintaan seperti ini memang merupakan sesuatu yang tidak adil. Kalau permohonan untuk mendapatkan lesen memerlukan sokongan dan bantuan seorang pegawai  yang meluluskan lesen itu, calon yang bertanding terpaksa berjanji untuk memuaskan kehendak para pengundinya.

Apabila calon itu menang pilihanraya,  dia terpaksa melunaskan janji-janjinya terutama sekali  kalau dia datang daripada parti yang menubuhkan kerajaan yang memerintah. Kesaksamaan tidak mempunyai tempat dalam melunaskan janji-janji. Malahan bukan itu sahaja. Oleh kerana dia sedar bahawa undi boleh diperdapatkan dengan  memuaskan kehendak para pengundi itu, dia pun bersiap sedia  untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang, dengan melunaskan  kehendak para pengundi itu lebih awal lagi. Calon daripada parti yang memerintah mudah memberikan tanah dan kemudahan lain sebelum menjelangnya pilihanraya. Kalau  pada tahap awal, undi diberikan  berasaskan janji kemudahan khas, kini kemudahan khas itu diberikan berasaskan janji untuk mendapatkan undi.

Perkara semacam ini bukan sahaja dilakukan  oleh calon daripada parti yang memerintah. Calon parti lain  pun melakukan tabiat yang serupa. Mereka lakukan lawatan ke kawasan pilihanraya  untuk melakukan pelbagai khidmat, menghadiri majlis kenduri rakyat marhaen, bersolat di masjid dan surau, berderma setakat yang termampu  dan melakukan apa saja yang mungkin tidak akan mereka lakukan melainkan mereka tidak berniat untuk bertanding di tempat itu.   Inilah satu penipuan yang bersifat bebal. Khidmat semacam itu akan dihentikan  sebaik sahaja mereka membuat keputusan untuk tidak  bertanding di kawasan itu.

Kalau sesuatu masyarakat itu menolak  korupsi, ia sepatutnya menolak suasana yang membiakkan korupsi.  Hak seseorang  pengundi memberikan undinya adalah sama dengan  kuasa yang ada pada tangan seorang pegawai. Undi boleh melakar destini seseorang, malahan kepada nasibnya untuk menjadi seorang perdana menteri. Kadangkala satu undi sudah cukup untuk menentukan nasib seorang perdana menteri. Ini bererti seorang pengundi itu mempunyai kuasa yang besar. Kuasa memang mengotorkan suasana dan kuasa yang mutlak memang mengkucar-kacirkan suasana itu secara keseluruhannya.  Kuasa seorang pengundi memang boleh menjadi kuasa mutlak, dan kuasa mutlak itu memang boleh menjurus ke kancah rasuah.

Sesuatu masyarakat yang diberikan  kuasa yang besar memang mudah dirasuah dan memang banyak tanda-tandanya.  Walaupun semua orang mengutuk korupsi itu,  setiap seseorang merasa selesa dengan satu bentuk korupsi yang diamalkannya sendiri. Kalau sesuatu masyarakat itu mahu membenteras korupsi ia tidak seharusnya mengamalkan  secara terus ataupun secara sampingan ketika berlakunya pilihanraya. Kalau rasuah diamalkan ketika pilihanraya, besar kemungkinannya pemimpin yang dipilih itu  merupakan seorang calon yang mengamalkan rasuah untuk menjadi seorang calon dan memenangi pilihanraya itu. Para pemimpin  yang mudah menyogok akan mudah dipengaruhi oleh budaya rasuah.

Masalah ini harus dikaji dengan teliti. Setiap calon dan parti  mempunyai berjuta ringgit untuk digunakan ketika pilihanraya. Satu ketika dulu wang yang banyak memang tidak diperlukan kerana ramai orang yang mudah berkhidmat secara sukarela. Mereka percaya kepada  prinsip parti ataupun kewibawaan  seseorang calon, ataupun kerana mereka dirangsang oleh semangat  berkhidmat. Tetapi pada hari ini seorang yang miskin tidak mampu bertanding di pilihanraya melainkan dia dicalonkan oleh sebuah parti politik yang kaya.

Dalam situasi semacam ini, para pengundi mudah membuat keputusan yang kurang bijak. Kalau mereka kaitkan  kekayaan sesebuah parti itu kepada   korupsi tanpa  memikirkan unsur yang lain, mereka mungkin memberikan undi protes untuk menyebelahi calon yang miskin. Inilah sikap negatif  kerana calon yang miskin itu mungkin tidak berkelayakan dan mungkin tidak mampu melakukan sesuatu yang berkesan seperti memerangi korupsi. Sikap negatif seperti itu menunjukkan rakyat marhaen tidak  bersedia menghadapi masalah dengan berterus terang.

Penyakit yang menghinggapi masyarakat itu  adalah rasuah yang diamalkan oleh masyarakat itu sendiri.  Cara mengubatinya ialah membersihkan gejala itu, bukan dengan cara menolak apa yang dikemukakan sebagai simbol  rasuah. Yakni calon ataupun kekayaan parti. Untuk membenteras rasuah dan apa juga bentuk rasuah itu,  rakyat marhaen mestilah menolak sebarang bentuk rasuah. Kalau diadakan pilihanraya, pemilihan mestilah berasaskan keupayaan seseorang calon dan sikap amanahnya, dan bukan pada janji-janjinya untuk memberikan apa juga yang diminta oleh orang kampung. Mereka yang mahukan calon mereka menang mestilah sanggup bekerja secara sukarela  tanpa meminta-minta atau menagih kemudahan khas.

Kita telah lihat betapa  demokrasi di Amerika Syarikat  hancur disebabkan beberapa bentuk korupsi yang didedahkan dalam skandal Watergate.  Sebenarnya  Nixon  bukan merupakan orang yang pertama  mengamalkan sistem  itu; semua presiden sebelumnya pun telah lama mengamalkan  perkara yang sama. Sistem ini berpunca daripada tabiat para pengundi yang mendesak agar  peruntukan yang tinggi dibelanjakan  pada kempen  pemilihan presiden. Lagipun para penyokong dan petugas dalam kempen pilihanraya  tidak mahu menyumbangkan khidmat mereka secara sukarela. Apabila ketandusan dana, seorang calon ataupun parti sudah tentu merelakan kemunculan bantuan  daripada pihak tertentu ataupun penderma yang kaya raya. Bantuan seperti itu mungkin tidak ada sebarang muslihatnya tetapi pihak yang menerima tentu sekali terasa  berhutang budi. Masyarakat mungkin mampu menolak Presiden yang terlibat, tetapi unsur rasuah yang diamalkan dan ditonjolkan itu tidak dapat disingkirkan semudah itu. Perkara ini pernah mengaibkan  penglibatan Presiden Carter dengan rasuah seperti yang didedahkan oleh penasihat kewangannya, Bert Lance.

Rasuah  bukannya merupakan  satu penyakit yang baru. Ia merupakan penyakit lama lebih dikenali sebagai sebahagian nilai  hidup budaya manusia di mana-mana. Sebarang kenyataan sama ada korupsi itu baik ataupun tidak bukanlah satu gambaran kepada pemahaman sesuatu masyarakat itu terhadap  penyakit hidupnya.  Bukan sahaja terdapat  banyak salah faham mengenai  makna dan kesan perbuatan rasuah itu, seseorang itu mempunyai makna dan nilai tersendiri sedangkan memberikan makna dan nilai yang lain terhadap orang lain pula. Kerana itulah orang yang mengutuk budaya memberikan keistimewaan itu akan mudah meminta-minta kalau dia diberi peluang yang sama.

Satu bab yang membincangkan perkara rasuah,  memang  tidak mudah untuk ditulis. Sebarang reaksi mengenainya memberikan gambaran bahawa si penulis mungkin  mengamalkan korupsi itu juga. Memandangkan luasnya  interpretasi mengenai korupsi itu bukanlah mudah seseorang itu berlagak yang dia bebas daripada mengamalkan korupsi.  Seorang ahli politik yang menulis mengenai korupsi berkemungkinan  menghadapi zaman kegelapan di hari muka. Para penyokong yang ingin membantu mungkin merasa rimas untuk menawarkan khidmatnya kerana tidak mahu dituduh menawarkan bakti dengan tujuan untuk mengamalkan  korupsi ataupun dianggap serong membantu dengan tujuan mendapatkan sesuatu. Namun, adalah penting kalau korupsi itu diiktiraf bukan sahaja sebagai satu penyakit budaya  masyarakat tetapi sebagai satu penyakit yang amat berbahaya kesannya.

Membasmi korupsi itu  memerlukan sikap yang jujur. Sesiapa yang mahu menggunakan apa yang tertulis dalam bab ini untuk kegunaan dirinya ataupun partinya bukan sahaja tidak amanah, malahan  mengamalkan satu bentuk korupsi  kerana menyalahi-gunakan kuasa yang tercetus daripada ilmu pengetahuan. Rasuah yang menyekat  pembasmian rasuah itu adalah bentuk rasuah yang paling teruk sekali.

                                              <<<<<<<>>>>>> Sorotan:

Demikianlah tulisan seorang diktator tua dalam sebuah buku berjodol The Challenge. Terjemahan bebas itu dilakukan kepada bab 12 buku itu pada muka surat 140 hingga 153. Buku ini adalah hak seorang diktator tua  yang mula diterbitkan pada 1986 dan sudah diulang-cetak sebanyak lima kali. Sayang........penulisan yang dilakar pada tahun 1986 itu tidak dipraktikkan sebaik sahaja si diktator tua itu memegang kuasa. Dia mengamalkan rasuah itu sepuas-puasnya, sehingga sanggup menolak sapina mahkamah sebanyak dua kali. Begitu juga halnya ketika si diktator tua merayu mendayu-dayu kepada ahli perwakilan UMNO agar membantunya membenteras rasuah, sedangkan segala bentuk rasuah yang sofistikated adalah mainannya dan menjadi darah dagingnya dan para kroni, suku-sakat dan keluarganya. Yang merana adalah rakyat jelata juga.

Seperti yang pernah kita bayangkan dalam siri YTDT, kini, segala bentuk pemerintahan yang dilakar bertopengkan projek mega sudah pun menggelonsor dan akan terus menggelonsor tanpa ada sekatannya. Laksana jatuhnya pisau tajam yang menjunam  bertubi-tubi sehinggakan graf BSKL pun terus tergugat lagi, suasana ekonomi negara disebabkan rasuah yang sungguh menebal  tidak mudah dibasmi hanya dengan niat semata-mata.  Apakah kesudahannya? Dapatkah semua kejijikan ini diselesaikan dengan agenda orang Melayu bersatu padu? Apakah semua ini mampu disekat dengan dianjurkan satu debat di antara pemimpin politik muda ataupun dengan upacara himpunan rakyat jelata yang cuba menopang kuasa seorang diktator tua yang sudah tidak ada relevannya?

-marhaintua- 
3 Januari 2001.                                               ...bersambung....

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter